Ke Arah Hijau dengan Penternakan Moluska
- Ex Tax: RM8.00
- Author: Aileen Tan Shau Hwai
- Availability: In Stock
- e-ISBN: 9789674615437
- Book Type: E-book
- Format: Flipbook
Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerajui penyelidikan tiram sejak tahun 1988. USM berjaya menghasilkan benih tiram daripada pembiakan tiruan dan berjaya menternak sehingga ke saiz yang matang. Pusat Penyelidikan Muka Head (nama lama bagi CEMACS sebelum dinaik taraf ke status pusat kecemerlangan), USM telah diiktiraf sebagai First Shellfish Centre oleh Malaysia Book of Records pada tahun 1995.
Pada 24 Disember 2002, satu peristiwa yang istimewa telah berlangsung di mana USM telah mendapat perkenan daripada DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail untuk menamakan tiram Crassostrea iredalei, yang dihasilkan menggunakan Gaya USM sebagai ‘Tiram Siraj’. Memandangkan penternakan tiram merupakan akuakultur yang bersih dan hijau, dan juga memerlukan kos yang rendah dan teknologi yang mudah dipelajari (high technology with high touch), komuniti pinggir pantai tempatan boleh didedahkan kepada aktiviti penjanaan pendapatan yang lestari melalui penternakan tiram ini. Penternakan tiram juga dapat membasmi kemiskinan dalam kalangan golongan terkebawah.
Sistem penternakan tiram yang lestari dapat memastikan pulangan ekonomi yang lumayan bagi komuniti tempatan dengan memenuhi pasaran tempatan dan juga antarabangsa. Dengan adanya latihan serta bimbingan cara penternakan tiram secara lestari dari USM, komuniti tempatan kini dapat memiliki perniagaan sendiri dan dapat menjana pendapatan selepas 8–10 bulan penternakan. Penternakan tiram telah terbukti dapat menaik taraf hidup komuniti pinggir pantai tempatan. Penternakan tiram Gaya USM kini diamalkan di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Sabah. Dengan adanya inovasi dari USM, Malaysia akan menjadi penghasil tiram bertaraf dunia pada masa hadapan.
Ilmu penternakan tiram secara hijau juga dikongsi bersama golongan muda dari universiti untuk memberikan pendedahan kepentingan untuk mencapai keseimbangan dengan persekitaran semasa menjana pendapatan; serta memupuk semangat keusahawanan. Penglibatan semua golongan iaitu golongan terkebawah, belia dan juga kaum wanita dalam penternakan tiram secara hijau adalah sejajar dengan impian negara, iaitu ‘kemakmuran bersama’ dan ‘membuat perdamaian dengan alam sekitar’.
Penyelidikan pemuliharaan kerang gergasi di Kepulauan Johor juga merupakan satu model kejayaan di mana pendidikan ekologi dan kelestarian telah diperkenalkan kepada komuniti pulau. Pendidikan kesedaran telah diperkenalkan kepada komuniti pulau di mana pemahaman “kerang gergasi di dalam kuali cuma memberi keuntungan sekali sahaja sebanyak RM20 berbanding kerang gergasi di taman karang dapat menjana sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan hasil daripada aktiviti pelancongan”. Pendekatan ini juga membawa konsep kelestarian hijau melalui pemuliharaan dan penternakan kerang gergasi di Kepulauan Johor. Kejayaan USM dalam penyelidikan penghasilan benih kerang gergasi telah mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book of Records sebagai First Artificial Clam Breeding Centre pada tahun 1997.
Pada tahun 1999, USM telah berjaya memulangkan sebanyak 900 juvenil kerang gergasi Tridacna squamosa ke Kepulauan Johor dan pada tahun 2014, telah berjaya mengembalikan kerang gergasi Tridacna gigas ke Pulau Aur. Kerjasama USM bersama Kerajaan Negeri Johor merupakan satu kejayaan bersama ke arah pemuliharaan kelestarian di mana melibatkan komuniti pulau dan memupuk semangat ‘hak milik’ demi kesejahteraan bersama. Usaha bersama ini yang menekankan kepada kelestarian persekitaran serta penghasilan benih moluska bivalvia secara hijau telah mendapat perhatian antarabangsa di mana United Nations Development Programme (UNDP) telah memberikan dana untuk membangunkan komuniti wanita di Kepulauan Johor melalui projek penyelidikan kerang gergasi.
Penyelidikan ke atas moluska juga dapat menyumbangkan penyelesaian kepada akuakultur masa hadapan yang kini terancam akibat daripada perubahan iklim, terutamanya daripada pengasidan lautan. Moluska merupakan organisma yang bercangkerang yang akan mengalami kesan yang amat ketara akibat ancaman pengasidan lautan.Keadaan lautan yang mempunyai pH yang rendah akan mengganggu pembentukan cangkerang organisma marin, yang seterusnya akan mengakibatkan kematian yang tinggi pada peringkat larva dan juga juvenil. Penyelidikan CEMACS di Laut China Selatan telah memperoleh spesies tiram yang lebih bertoleransi dan berkemampuan beradaptasi terhadap pH yang lebih rendah, dan kemungkinan besar akan menjadi spesies yang sesuai diternak pada masa hadapan untuk menggantikan spesies komersial yang kini diternak.
Penyelidikan moluska di USM kini tertumpu kepada kajian spesies yang berpotensi untuk perkembangan ekonomi masa hadapan. Banyak spesies moluska masih boleh dipelopori sebagai makanan. Spesies moluska yang menjadi tumpuan kajian di USM mempunyai potensi menjadi sumber protein untuk mengatasai masalah sekuriti makanan serta mesra alam, di mana penternakan spesies tumpuan baru ini tidak akan mencemarkan persekitaran. Keseimbangan antara ekonomi dan persekitaran perlu dicapai untuk kelestarian sejagat dan memenuhi konsep ‘Blue Economy’.
USM telah menjalankan penyelidikan ke atas moluska lebih dari 30 tahun dan kini menerajui program penyelidikan moluska terutamanya daripada aspek akuakultur hijau dan lestari untuk menjamin kelestarian persekitaran, masyarakat dan juga ekonomi negara. USM berjaya menterjemahkan hasil penyelidikan kepada masyarakat dan menaikkan taraf hidup golongan terkebawah dan juga menjadikan akuakultur hijau sebagai satu tarikan pelancongan.